Thursday 26 May 2011

Tazkirah Malam Jumaat UBM | Antara Adat dan Adab - Ustaz Jenggot


Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para Sahabat r.anhum.

Ustaz Jenggot bersyukur kerana masih lagi diberikan peluang untuk menulis di sini walaupun terpaksa skip dua minggu kerana beberapa masalah yang tak mampu dielakkan. 

Pada kali ini, Ustaz Jenggot ingin menyentuh satu isu berkaitan adat dan adab. Dua perkara yang nampak macam sama, tapi sebenarnya tak serupa. Juga takde berkaitan dengan pelanduk atau yang sewaktu dengannya. Namun, walaupun kedua-duanya berbeza, ia masih lagi berkaitan antara satu sama lain.

Adat merupakan sesuatu amalan yang biasanya dikaitkan dengan sesuatu bangsa.. Sebab itu, adat itu selalu dinisbahkan dengan sesuatu bangsa seperti adat orang Melayu, adat orang Cina, adat orang India dsb. Ianya bukanlah sesuatu daripada amalan agama yang mempunyai dalil daripada al-Quran mahupun hadis, sebaliknya ia merupakan amalan kebiasaan bagi sesuatu masyarakat / bangsa. Amalan membasuh kaki sebelum masuk ke rumah merupakan suatu adat orang Melayu. Begitu juga amalan Feng Shui, merupakan adat kaum Cina. 

Adab pula biasanya dikaitkan dengan sesuatu yg mempunyai sandaran daripada al-Quran mahupun hadis. Ianya banyak dijelaskan dalam kitab-kitab dan dimasukkan dalam kumpulan pengajaran akhlak Islam.

Sesuatu adat itu dibenarkan untuk diamalkan selagi ianya tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. Umpamanya, jika seorang berjalan di belakang atau di hadapan tetamu, beliau membongkokkan badan dan meminta izin untuk lalu di hadapan tetamu. Ianya tiada masalah untuk diamalkan. Kecuali jika ia dikaitkan dengan unsur-unsur yang boleh membawa kepada syirik. Contohnya meyakini jika tak bongkokkan badan dan meminta izin untuk lalu depan tetamu, akan mengelakkan daripada bencana dan sial, maka ketika itu ianya dilarang.

Begitu juga amalan Feng Shui. Tiada masalah untuk mempraktikkan amalan tersebut bagi bangsa Melayu (sekalipun ianya merupakan adat dan tradisi kaum Cina). Tetapi jika meyakini bahawa Feng Shui itu mampu menjadikan seseorang itu bernasib baik jika mempraktikkannya, atau bernasib malang jika tidak melakukannya, maka ianya jelas syirik dan bertentangan dengan keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar.

Oleh kerana bangsa Melayu ini melalui proses transformasi agama dan budaya yang pelbagai, maka tidak dapat tidak, adat Melayu banyak mencedok daripada adat dan budaya kaum lain. Sebab itu, masih wujud lagi budaya-budaya yang bertentangan dengan agama, yang masih kuat diamalkan oleh sesetengah orang Melayu dengan beranggapan ianya merupakan budaya nenek moyang. Sedangkan ianya merupakan amalan yang dicedok tanpa tapisan. Sijil Halal pun takde.

Maka itu, jangan tersilap dalam memahami sesuatu itu sebagai adat mahupun adab. Kalau tersilap faham, mungkin akan mengakibatkan kesilapan dalam praktikal.

Ustaz Jenggot biasa menerima e-mail, sms dan sebagainya daripada pelbagai pihak yang menyampaikan sesuatu perkara yang baik seperti tazkirah, kata-kata nasihat, maksud al-Quran, Hadis dsb. Ianya merupakan sesuatu yang sangat baik. Namun bila dikaitkan dengan arahan ringkas agar menyebarkan kepada sejumlah orang. Sekiranya dilakukan, maka dikatakan akan memperolehi pahala, kebaikan dsb. Jika tak disebarkan, maka akan dapat bala, bencana, wabak, kurap dsb.

Dari satu sudut, ianya nampak suatu amalan yg baik. Tapi dicampur pulak dengan amalan yang syirik (mempercayai adanya kuasa lain yg boleh memberi manfaat dan mudarat selain Allah). Maka, kalau dalam kaedah matematik, positif x negatif = negatif. Amalan yg bercampur dengan perkara syirik adalah ditolak.

Tak kira la kita melakukan sesuatu amalan yg berada dalam kategori adat mahupun adab, berhati-hatilah dengan kesyirikan yang mudah menyusup masuk ke dalam setiap amalan kita.

Semoga Allah memelihara kita daripada terlibat dengan perkara-perkara syirik dan yang boleh merosakkan akidah.

-ustaz jenggot 

1 comments:

suha said...

yeay!ustaz jenggot dah kembali

tazkirah yg sangat bermaklumat (^_^)

Students

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger